Aktor kacukan Uzbekistan, Daler Yusuf berjaya menyimpan rapi kehidupan peribadinya daripada umum bahkan selama bertahun-tahun ramai peminat tidak tahu dia sudah berumah tangga.
Baru-baru ini, Daler atau Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad mengumumkan bahawa isterinya Sakinah Burikul hamil cahaya mata ketiga mereka.
Kata pelakon berusia 31 tahun itu, usia kandungan Sakinah kini sudah mencecah lima bulan dan dijangka bersalin tahun hadapan.
Perkongsian Daler di akaun TikToknya mencuri perhatian peminat kerana ramai yang terkejut dan tidak tahu bahawa aktor tersebut sudah berkahwin.
Jelas Daler, sebenarnya mereka berdua sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga di negara kelahirannya ketika dia masih belajar dan belum berkecimpung dalam industri lagi.
Ujarnya, dia tidak berkongsi tentang kehidupan peribadinya di media sosial kerana kehidupan mereka yang agak sulit dan sering timbul salah faham yang menyebabkan pergaduhan.
Malah, kata Daler dia dan isteri pernah tidak tinggal sebumbung selama dua hingga ke tiga tahun sebelum kembali tinggal bersama.
Kami dulu banyak gaduh, duduk asing. Alhamdulillah, semasa Covid-19 kami tersekat di Malaysia dan berbaik sehingga sekarang. Sekarang kami lebih memahami antara satu sama lain.
Hasil perkahwinan itu, Daler dan Sakinah turut mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu anak sulung lelaki yang berusia sembilan tahun dan anak perempuan berumur tujuh tahun.
Daler bagaimanapun mahu mengekalkan untuk tidak berkongsi terlalu banyak terutamanya maklumat terperinci mengenai anak-anaknya.