Memang sudah jadi kebiasaan buat wanita-wanita yang sedang hamil untuk memiliki hasrat tertentu seperti gejala mengidam untuk makan sesuatu misalnya.
Begitulah yang terjadi pada pasangan ini apabila si isteri yang sedang hamil khabarnya mengidam untuk makan makanan yang disediakan buat pelajar di kantin sekolah menengah berhampiran rumah mereka.
Maklum wanita yang dikenali sebagai Sya Aisyahra ini, dia mula mengidam untuk menikmati hidangan nasi ayam goreng di sekolah lamanya itu ketika usia kandungannya memasuki lapan bulan.
Tambahnya, sudah 10 tahun dia tidak jejak kaki ke sana namun tiba-tiba sahaja terasa untuk makan nasi ayam goreng dengan kuah sambal yang selalunya disediakan untuk pelajar sekolah lamanya itu.
Menunya sangat ringkas tapi tak tahulah kenapa teringin sangat. Saya beritahu suami, dia gelak saja tapi dia janji nak bertanya kepada pengawal keselamatan sekolah berkenaan.
Sekarang ini sejak pandemik, orang luar tak boleh masuk suka-suka ke dalam kawasan sekolah. Dijadikan cerita, masa kami tanya, pengawal keselamatan tu beri kebenaran dan minta kami datang keesokan pagi sebelum waktu pelajar keluar rehat.
Cerita Sya lagi, meskipun tukang masak sudah bertukar namun dia tetap puas dan gembira kerana hajatnya tertunai.
Rezeki anak sulung, hidangan makanan mereka turut dibayar oleh guru yang kebetulan berada di kantin sekolah pada ketika itu.
Sya yang berkongsi video mengenai kisah mengidamnya itu di TikTok tidak menyangka ianya akan menjadi tular di media sosial.
“Pandangan saya, bab mengidam ini suami isteri perlu saling memahami. Suami cubalah penuhi keinginan isteri. Sebab emosi wanita hamil ini lain sikit. Tapi dalam masa yang sama, si isteri juga perlu memahami kalau ada hajat yang sukar ditunaikan si suami.” katanya lagi.