Gara-gara tidak mahu menjual atau memberi pakaian bayi milik anak sulungnya, pelakon Datin Intan Najuwa menerima mesej berbaur kemarahan daripada segelintir pihak.
Tampil menjelaskan perkara itu, Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, berkata keputusan tersebut bukan dibuat kerana kedekut, sebaliknya setiap helaian pakaian anaknya mempunyai nilai sentimental yang sangat besar buat dirinya.

“Alamak banyak juga mesej yang saya terima marah sebab saya tidak mahu preloved dan giveaway baju-baju lunara.”
“Sebenarnya, banyak lagi cara lain untuk saya buat orang gembira selain daripada menjual atau memberi pakaian anak-anak saya.”
Menurut Intan, setiap pakaian yang pernah dipakai anaknya, Lunara, menyimpan pelbagai kenangan indah sepanjang perjalanan awalnya bergelar seorang ibu.
“Perkara ini bukan soal wang ringgit tetapi tentang memori, usaha, masa dan pengalaman saya ke sana sini hanya untuk memilih setiap satu pakaian buat Lunara dengan penuh kasih sayang dan rasa teruja.”
Jelas pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, setiap helaian baju membawa memori berbeza, sekali gus membuatkannya sukar untuk melepaskan pakaian berkenaan kepada orang lain.
“Setiap pakaian memegang memori yang berbeza buat saya. Itulah sebabnya saya tidak boleh mengorbankan nilai sentimental itu hanya untuk melepaskannya kerana sejujurnya itu akan membuatkan saya sangat sedih.”
Tambah Intan, ada antara pakaian tersebut yang mengingatkannya kepada fasa awal kelahiran Lunara serta momen-momen manis yang tidak mungkin dapat diulang kembali.
“Bagi sesetengah orang, itu mungkin sekadar baju. Namun bagi saya, itu adalah sebahagian daripada perjalanan keibuan saya dan memori yang ingin saya simpan buat selama-lamanya.”
Sebelum ini, Intan berkongsi bahawa dia memilih untuk menyimpan semua pakaian bayi yang pernah dipakai Lunara meskipun sudah tidak lagi muat dipakai.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
