Pengarah, pelakon, dan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim berbesar hati akhirnya dapat menghadiri penyampaian rasmi Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan di Istana Negara.
Yusry, 48, menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.
Menurutnya, penganugerahan ini bersempena Hari Wilayah 2021 tempoh hari kerana majlis tertunda selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika itu.
Ini anugerah yang sama untuk penerimaan gelaran Datuk itu. Cumanya majlis baharu dapat diadakan pada hari ini.
Yusry memuat naik hantaran menyatakan rasa syukurnya terhadap pencapaian itu di laman Instagram miliknya. Turut hadir menemani beliau adalah isterinya, Datin Lisa Surihani.
Pada Hari Wilayah 1 Februari lalu, Yusry antara 335 penerima dipilih untuk penganugerahan itu. Tidak ketinggalan, Datuk Nora Ariffin serta Datuk Habsah Hassan.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.