Semalam kecoh di media sosial apabila usahawan kosmetik, Sajat didakwa menyatakan hasrat mahu keluar daripada agama Islam. Menerusi video berdurasi 1 minit dan 45 saat itu, dia juga dikatakan sangat tertekan dengan situasi yang dihadapinya sekarang.
Memetik laporan Utusan Malaysia, rakan baik yang juga merupakan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri memohon Sajat supaya tidak mempermainkan isu murtad. Sebagai seorang sahabat, Aliff Syukri menasihati Sajat supaya menghormati undang-undang.
Kita sebagai seorang manusia, perlu menghormati undang-undang. Tak salah jika kita mengaku salah. Itu tidak bererti kita kalah. Kita rakyat Malaysia, ada undang-undang yang perlu kita patuhi.
Sebagai sahabat, saya tak mahu Nur Sajat keluar daripada Islam atau murtad. Jangan tertekan dengan segelintir warganet. Menyerahlah. Ikut garis panduan dan undang-undang.
Kata Aliff Syukri kepada Utusan lagi, mereka sebenarnya sudah lama tidak bertanya khabar namun dia sentiasa mendoakan Sajat agar tabah menghadapi ujian Allah SWT. Dia juga memohon rakannya itu supaya menjadi manusia yang sentiasa berubah ke arah kebaikan.