Seorang usahawan muda khabarnya sudah ‘mempersiapkan’ diri untuk menjalani tempoh berpantang selepas bersalin meskipun belum lahir cahaya mata sulung yang dinanti-nantikan itu.
Apa yang pasti, persediaan yang dilakukan bukanlah ‘biasa-biasa’ kerana dia telah menghadiahkan sebuah kereta mewah Lamborghini yang bernilai RM2 juta buat suaminya sebagai ‘ganjaran awal’ kerana menjaganya di dalam pantang nanti.
Wanita yang dikenali sebagai Anes Ayuni Osman itu juga ada memuat naik momen-momen ketika kejutan itu diberikan buat suaminya yang berlokasi di sebuah pusat jualan kereta di Ibu Kota, Jumaat lalu.
Suami menjaga saya dengan baik ketika tempoh kehamilan saya. Selain menghargai pengorbanan suami, hadiah Lamborghini kerana saya mahu dia sentiasa di sisi sepanjang tempoh berpantang nanti.
Anes yang kini sarat hamil 9 bulan turut menjelaskan sebab mengapa dia menghadiahkan hadiah mewah itu buat suaminya, Ahmad Weldan Zulkifli lebih awal dan bukan lepas kelahiran anak sulung mereka.
Saya beri hadiah awal sebab masa berpantang nanti tak boleh pergi jauh-jauh Ikut perancangan saya akan berpantang di rumah keluarga saya di Pasir Mas, Kelantan.
Ikut amalan berpantang keluarga saya di Kelantan, tempohnya 100 hari. Maka tiga bulanlah suami saya kena ikut ‘berkampung; di rumah mak ayah saya.
Katanya lagi, dia mengharapkan pasangannya itu dapat menjaga dirinya dengan baik sepanjang tempoh berpantang nanti berikutan Anes bakal melahirkan anak melalui prosedur ‘czer’.
Anes juga berharap agar suaminya itu dapat mencuci lampin dan membersihkan najis serta kencing anak mereka kelak.
Terdahulu, wanita yang berusia 19 tahun ini pernah tular di media sosial kerana mengeluarkan belanja sebanyak RM50,00 dalam masa sehari bagi membeli beberapa beh jenama mewah sebagai keperluan untuk bayi yang bakal lahir.