Nama pelakon muda berbakat Puteri Balqis kembali meniti di bibir masyarakat berikutan penampilannya yang dikatakan agak ‘liar’ seperti didakwa sesetengah netizen.
Tampil mencoretkan perasaan, Balqis yang berkongsi soal hati menerusi Facebook Garasi TV malam tadi mengakui dirinya yang dahulu adalah seorang yang gagal berbanding hari ini.
Ujarnya, dia tidak akan menjadi seorang gadis yang periang dan ceria seperti sebelum ini meskipun ramai yang mengharapkan perkara itu daripanya pada ketika ini.
Cerita pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2014 ini lagi, hatinya sangat terguris apabila dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah terutamanya apabila menyentuh soal ibunya oleh sesetengah pihak.
Paling saya tertekan sebab saya gagal pertahankan ibu saya. Orang cakap ibu penagih dadah dan gunakan saya untuk cari duit. Jadi saya lebih selesa jadi diri yang sekarang.
Malah, lebih menyedihkan, ada yang membuli Balqis sehingga ada yang sanggup berkata dia akan ‘membunuh’ ibunya suatu hari nanti dan mengharapkan dirinya agar mati sahaja.
Sedih bila orang tuduh saya bukan-bukan. Orang kata saya psiko, tidak terjaga dan tidak terurus. Malah ada juga yang doakan saya mati. Walaupun saya nampak ok, saya manusia yang punya hati.
Balqis dalam pada itu menafikan dia dan ibunya sudah jauh terpesong dari landasan agama dan berkata tidak akan sesekali berkongsi mengenai perihal ibadah yang dilakukan mereka untuk tatapan umum.
Terdahulu, Puteri Balqis telah menuai kritikan dan komen daripada netizen apabila dia dilihat seperti remaja bermasalah dan tular pula penampilannya yang memakai skirt pendek dan bergaya seksi, seolah-olah telah melupakan agama.