Jenazah pelawak serta pelakon terkenal Allahyarham Harun Salim Bachik telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ar Raudhatuk Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Kuala Lumpur sekitar jam 11 pagi tadi.
Pada awalnya, jenazah Allahyarham telah tiba di kediaman beliau di Taman Pandan Perdana pada jam 1.15 awal pagi Isnin dengan menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam dari Hospital Parit Buntar. Jenazah  dimandikan serta disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1 pada jam 9 pagi.
Majlis pengkebumian telah dihadiri sekitar 500 orang ahli keluarga, teman rapat serta kenalan artis bagi memberikan penghormatan akhir buat Harun Salim Bachik.
Antara rakan artis yang hadir seperti Datuk Hattan, Datuk Rosyam Nor, Johan Yazid, Aziz M.Osman, Dira Abu Zahar, Zed Zaidi, Den Wahab, Afdlin Shauki, Riezman Khuzaimi, Hans Isaac, S Sahlan, Imuda, Awie, Arash Mohamad dan Elly Suriati.
Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, jam 4.20 petang Ahad.
Takziah kami ucapkan kepada keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik, berita pemergian arwah nyata mengejutkan ramai pihak dan negara telah kehilangan satu lagi permata yang tiada gantinnya. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.