Dianggap sebagai barang ‘rare’, motosikal Yamaha RX-Z sememangnya diketahui sangat mahal sehinggakan ada yang tidak masuk dek akal pun ada.
Sangat sukar dicari pada ketika ini, pastinya ada segelintir pemilik motosikal jenis itu cuba menjualnya dengan harga yang sedikit mahal sehinggakan mencecah harga puluhan ribu ringgit.
Baru-baru ini tular di media sosial Facebook apabila seorang pemilik cover set motosikal Yamaha RX-Z telah menawarkan barangan tersebut pada harga RM9,500 sehingga RM12,000.
Ianya menjadi bahan bualan netizen terutamanya penggemar kenderaan tersebut kerana dianggap seperti ‘harga tidak boleh bawa bincang’.
Menjual alat ganti original seperti tank, side cover, mudguard, bajak dan lain-lain, pemuda tersebut turut meletakkan kapsyen ‘kalah membeli menang memakai’ dan ‘kecaman itu lumrah’ dalam hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai tampil mempertikaikan harga yang ditawarkan dan menganggapnya sebagai tidak berbaloi untuk berbelanja sejumlah wang yang banyak hanya kerana untuk membeli aksesori motosikal.
Namun ada juga yang menyuruh pemuda tersebut untuk tidak menjualnya lagi kerana harganya pasti meningkat untuk beberapa tahun akan datang memandangkan Yamaha RX-Z itu sendiri sukar untuk didapati apatah lagi aksesori asli motosikal tersebut.