Kenaikan harga sayur yang begitu tinggi di kawasan Utara tanah air terutamanya Pulau Pinang ternyata mengejutkan pengguna terutamanya golongan peniaga makanan.
Harga melambung di antara 40 hingga 200 peratus itu dikesan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini di beberapa pasar di Bayan Baru, Taman Tun Sardon, Jelutong dan Pulau Tikus setelah ditinjau oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader memaklumkan bahawa antara sayuran utama yang mengalami kenaikan harga mendadak adalah seperti kubis bunga, sawi pendek, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.
Seperti contoh, harga sekilogram sawi meningkat RM8 berbanding RM5, brokoli naik daripada RM8 kepada RM20.
Malah, Mohideen turut diberitahu para peniaga bahawa harga sayuran akan terus meningkat oleh pemborong masing-masing, dalam masa yang terdekat.
Sehubungan dengan CAP menyeru pihak berkuasa bertanggungjawab untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia pasti akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat kenaikan harga barang.
Dalam pada itu, wakil peniaga pasar malam di daerah Barat Daya, Izam Abd Hamid yang ditemui Kosmo Online berkata mereka telah berdepan isu kenaikan harga ini pada peringkat pemborong sejak minggu lalu.
Katanya, pemborong tidak memberi sebab dan punca terjadinya kenaikan harga sayuran dan para peniaga hanya beranggapan bahawa musim hujan telah menjejaskan pengeluaran serta kenaikan harga baja tanaman.