Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin memaklumkan bahawa akan berlaku kenaikan harga bagi makanan kering dan juga pakaian untuk tahun ini, seperti laporan Sinar Harian.
Kata beliau, kenaikan harga itu didorong oleh faktor luar seperti bahan mentah dan kos logistik yang semakin meningkat.
Antara contoh barang kering yang dijangka mengalami perubahan harga adalah seperti biskut, sardin dan Milo yang akan meningkat sehingga 8 hingga 10 peratus.
Manakala bagi segmen pakaian, Ameer Ali menjangkakan kenaikan dari 10 hingga 15 peratus dan akan memberi kesan kepada penjualan pakaian sekolah dan harian.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kenaikan harga barang tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan dan ia berkait rapat dengan perdagangan antarabangsa.
“Kita ini terlibat dengan perdagangan antarabangsa. Jangan kita salahkan kerajaan. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Apa yang penting adalah kerajaan membantu.” ujarnya lagi.
Datuk Ameer Ali Mydin juga menasihatkan agar masyarakat lebih bijak melakukan pilihan ketika membeli barang seperti memilih barang yang murah dan lebih berjimat cermat dalam sebarang urusan jual beli.
“Kita kena pandai, bijak cari barang yang kita mampu. Kerana anda tidak ada pilihan. Barang itu akan naik, gaji anda tidak naik. Kalau gaji anda naik pun, ia tiga hingga lima peratus tetapi barang naik 10 peratus.” katanya.