Penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan yang syarikat rakaman, FMC Music mahu mengambil isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri untuk dijadikan penyanyi.
Haqiem bagaimanapun memberitahu dia tidak bersetuju dengan perkara tersebut, sebaliknya berpendapat yang biarlah dirinya seorang sahaja berkecimpung dalam dunia muzik.
Sofea boleh menyanyi, suaranya sedap seperti penyanyi Indonesia yang mempunyai tone suara yang baik. Namun, biarlah saya seorang sahaja bergelar anak seni.
Tambah Haqiem, dia berpendapat sebegitu juga kerana mahu isterinya fokus pada perniagaan mereka iaitu San Thai Village kerana mereka sudah bercadang hendak membuka francais kedua tidak lama lagi.
Bercakap tentang soal cemburu, Haqiem memaklumkan yang dia tentu akan cemburu kerana itu adalah lumrah sebagai seorang suami tetapi cemburunya itu tidaklah keterlaluan.
Mengulas tentang persoalan sama ada isterinya Sofea selesa atau tidak mendapat perhatian ramai, Haqiem mengatakan yang dia dan isterinya tidak mempunyai masalah dengan perkara tersebut.
Buat masa ini, saya gembira apabila Sofea mendapat perhatian.
Tambah Haqiem, dia bukan mahu berbangga pengikut dalam laman sosial isterinya naik tetapi dia gembira apabila sesuatu perkara itu boleh membuatkan isterinya gembira.
Namun begitu, Haqiem tidak menafikan yang Sofea masih malu dan gementar untuk berhadapan dengan wartawan tetapi dia kini dalam proses untuk belajar menerima perhatian daripada orang ramai.
Sekadar info, Haqiem telah mendirikan rumah tangga dengan Anis Sofea pada 19 November lalu di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.