Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, Hanez Suraya masih lagi dihantui oleh kontroversi lama beliau bersama suami Romie Razin Adilha apabila ada pihak yang tidak senang hati dengan kebahagiaan mereka sekarang.
Pelbagai tomahan dan berita tidak benar disebarkan meskipun Hanez kini sudah hamil anak mereka selama 4 bulan. Namun, buat Hanez tidak mahu cepat melatah dan memikirkan perkara tersebut kerana tidak mahu ia dipanjangkan dan menjejaskan masa depannya.
Berbicara mengenai gosip rumah tangga beliau bermasalah hanya kerana satu foto yang dimuat naik oleh beliau di Instagram baru-baru ini, Hanez sedar masih ada lagi pihak yang dengki dengan beliau. Walaubagaimanapun, beliau sama sekali tidak terkesan dengan berita itu dan mengakui bahagia di samping suami tercinta.
Orang luar tak tahu apa yang berlaku, tapi terus menuding jari mengatakan hubungan kami sedang retak. Saya pelik bila sekeping gambar sahaja boleh timbul pelbagai andaian tentang rumah tangga saya.
Memang saya tahu ada individu yang masih dengki dengan saya dan tak mahu lihat saya bahagia dengan perkahwinan ini. Melihat kepada situasi ini, saya sedar orang kita ini memang suka ambil tahu hal orang lain berbanding hal sendiri. Apa pun yang berlaku, jujurnya saya sedikit pun tidak terkesan dengan cerita-cerita tersebut kerana apa yang pasti hubungan kami berada dalam keadaan baik.
Hanez juga sempat meluahkan rasa teruja beliau untuk menyambut kelahiran bayi pertama beliau yang bakal lahir pada hujung tahun ini. Ditanya mengenai jantina anak mereka, aktres tersebut dan Romie telah membuat keputusan untuk merahsiakan perkara tersebut buat masa ini.
Setiap manusia ada lakukan kesilapan dalam hidupnya dan jika kita terus menghukum mereka kesalahan tersebut masih tidak dapat diperbetulkan bukan? Doakan sahaja agar Hanez Suraya kekal bahagia dan selamat bersalin tidak lama lagi.