Setahun menunggu dan terpaksa berusaha untuk mendapat hadiah kemenangan beliau untuk Gegar Vaganza musim ke 4, penyanyi Aishah meluahkan rasa terkilan apabila beliau dimaklumkan hanya menerima sebidang tanah yang lebih kecil dan bukanlah lot banglo seperti yang dijanjikan.
Lebih membuatkan beliau kecewa, perkara itu diberitahu hanya selepas setahun beliau menunggu dan turut mempertikaikan adakah nilai hadiah yang diwar-warkan sebelum ini hanya sekadar gimik untuk membuatkan program tersebut nampak lebih gempak?
Terdahulu, Aishah ditawarkan pelbagai hadiah lumayan dan mewah apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut. Namun, baru-baru ini beliau memberitahu masih belum lagi menerima lot tanah banglo dan mendedahkan barangan kemas tajaan Datuk Seri Vida yang kononnya bernilai RM80,000 sebenarnya tidak tulen.