January 17th, 2017

Janna Nick sebelum ini  ada memberikan penjelasan mengenai isu beliau yang enggan memakai baju yang disediakan oleh seorang pereka fesyen kerana ia tidak sesuai dengan imejnya kerana ia terlalu seksi.

Terbaru, pereka fesyen berkenaan iaitu Khairul Amri Hassan telah tampil membidas kenyataan Janna. Khairul  memberitahu beliau sudah menyediakan enam helai pakaian untuk Janna memilih sesuai dengan gayanya namun pelakon wanita itu hanya menarik muka.

Saya sediakan enam pilihan pakaian untuk sesi fotografi itu. Dua yang dipilih adalah persalinan ‘oversize’ jaket dan ‘skinny fitted pants’, manakala satu lagi gaun hijau zamrud yang baru disiapkan sehari sebelum sesi fotografi itu.  Turut disediakan adalah sehelai ‘oversized jumper’, gaun paras bawah lutut, ‘loose top’ dan skirt paras bawah lutut, sehelai gaun biru paras bawah lutut dan sehelai gaun hitam ‘strapless’ paras lutut seperti yang didakwa.

Namun dress (gaun) hitam itu sekadar baju pilihan lain sekiranya ada masalah dengan pakaian lain. Dia (Janna) bagaimanapun tidak menggayakan langsung mana-mana pakaian disediakan, sebaliknya memilih untuk memakai baju yang dibawa sendiri tanpa memaklumkan kepada saya akan pilihan itu. Jadi saya menganggap beliau tidak berminat untuk menggayakan pakaian yang saya bawakan. Buat apa mahu menunggu dia?

Khairul turut kesal kerana tidak diberikan penjelasan lanjut berhubung keperluan terhadap pakaian disediakan olehnya untuk sesi fotografi berkenaan.  Malah, Janna juga dikatakan hanya berdiam diri dan tidak menegurnya langsung.

Sudahlah ketika berada di ruang solek, tiada sepatah kata perkenalan daripada dia sehinggakan saya sendiri yang menghulur salam dulu.

Apapun, pada pendapat saya, masing-masing mempunyai kerjaya dan tuntutan kerja. Seandainya seseorang artis itu perlu memenuhi jadual harian, begitu juga saya. Masa dan kudrat bukan perkara percuma untuk disia-siakan.

Satu demi satu kenyataan yang keluar dan siapa benar siapa salah? Pada kami, bertemulah secara empat mata dan luahkan segala rasa tidak puas hati serta menyelesaikan segala kemelut yang ada.

Sumber Berita : BH ONLINE


Comments are closed.

Loading...