Bermain teka-teki sememangnya sudah menjadi salah satu aktiviti yang seronok untuk dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan, lebih-lebih lagi ketika waktu bosan. Ia bukan sahaja untuk mengisi masa lapang malah sel-sel otak kita juga akan berfungsi ketika bermain teka-teki ini.
Tidak dinafikan, teka-teki ini adalah satu permainan untuk menguji kepintaran serta ilmu pengetahuan seseorang individu. Seperti yang kita tahu, individu yang diberikan soalan perlu mencari jawapan yang sesuai dengan soalan yang diberikan dalam permainan teka-teki ini.
Namun, kadangkala jawapan kepada sesuatu teka-teki itu boleh mendatangkan rasa ‘geram’ oleh individu yang diberikan soalan kerana lawaknya yang hambar serta jawapan yang tidak logik. Bagaimanapun, umum kita tahu yang permainan teka-teki ini sememangnya hanyalah sekadar hiburan dan bukan sesuatu yang serius.
Anak bagi teka-teki dekat ibu bapanya, sekali jawapannya pula bikin ‘geram’
Baru-baru ini tular di laman TikTok, sebuah perkongsian video daripada seorang pengguna bernama ccinderellena yang memaparkan seorang gadis bermain teka-teki bersama ibu bapanya.
Dalam perkongsian tersebut, kelihatan gadis itu sedang memberikan satu soalan teka-teki kepada ibu dan ayahnya. Soalan daripada gadis itu berbunyi “tayar apa yang boleh makan?”.
Si ayah menjawab soalan teka-teki itu dengan memberi jawapan “spare tyre”. Gadis itu kemudiannya mengatakan yang jawapan ayahnya itu adalah salah lalu memberikan jawapan yang betul iaitu “pattaya” sambil ketawa.
Apa yang membuatkan penonton terhibur melihat perkongsian video tersebut adalah apabila reaksi spontan ayahnya selepas itu dengan membuat muka seperti malas melayan anak gadisnya itu kerana jawapan yang hambar.
Lebih melucukan, ayahnya sempat berkata “bodohnya anak kita” dan dibalas pula oleh ibunya “memang bodoh”. Mereka kemudian beredar dari situ kerana tidak mahu melayan lawak gadis itu.
“Sebab tu awak lawak, ayah awak lagi lawak hahaha”
Setakat ini, perkongsian video tersebut telah mendapat sebanyak 989.8 ribu tontonan, 151.7 ribu tanda like dan 1.6 ribu komen. Rata-rata netizen turut merasa terhibur melihat reaksi ibu bapa gadis tersebut yang melucukan.
Ada juga yang berseloroh mengatakan ibu bapa gadis tersebut mengeluarkan respon seperti itu kerana mereka sudah penat layan karenah anak gadisnya itu.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara