Seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta, memetik Berita Harian.
Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi di sekitar Lembah Klang, hari ini. Seorang lagi individu berusia 50-an turut ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.


Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua daripadanya pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.
“Hasil siasatan awal turut mendapati timbalan pengerusi NGO terbabit dipercayai sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.”
“Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO itu adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan,” katanya.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, harini, untuk permohonan reman,” katanya.
Dalam masa sama, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.
Turut dibekukan adalah 33 akaun bank dengan jumlah sekitar RM120 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
