Pelakon Fattah Amin dan Fazura yang dikhabarkan sudah bernikah dalam sebuah majlis rahsia malam semalam berjanji mereka akan mengadakan satu sidang media khas pada 23 November ini, selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah bersama-sama. Sidang media itu dipercayai diadakan bagi menjawab segala spekulasi tentang hubungan mereka berdua selama ini termasuklah gosip pertunangan serta pernikahan.
Dengan rendah hati, Fattah dan Fazura ingin memohon seribu kemaafan dan memohon doa dari semua rakan wartawan dan para peminat semoga Umrah mereka dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Insya-Allah, berikutan dari perkara ini pihak Fattah Amin dan Nur Fazura akan mengadakan satu sidang media pada 23 November. Lokasi dan masa sidang media ini akan kami kongsikan dalam waktu terdekat ini.
Fattah dan Fazura telah pun berangkat ke Makkah pagi tadi dan turut disertai oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Semoga Fattah dan Fazura sekeluarga mendapat umrah yang mabrur. Harapnya selepas mereka kembali ke tanah air nanti, Fattah dan Fazura sudah terbuka hati untuk berkongsi apa yang berlaku sebenarnya semalam. Jika ada khabar gembira, apa salahnya untuk berkongsi dengan peminat serta wartawan yang menjadi tulang belakang karier mereka selama ini.