Penyanyi Ezad Lazim memaklumkan yang dia risau memikirkan koleksi gitar dan barangan peribadi peninggalan arwah bapa tersimpan dalam bilik bawah kediamannya di Kota Warisan, Sepang, yang ditenggelami air paras pinggang dalam banjir kelmarin.
Menurut Ezad, dia dalam perjalanan pulang daripada membuat persembahan di Kedah ketika kejadian dan memperoleh maklumat tentang kejadian daripada jiran.
Sebaik tiba di Sepang pada sebelah malam Sabtu lalu, saya dan isteri tidak dibenarkan memasuki kawasan perumahan kerana dinaiki air selain banyak jalan ditutup.
Tambah Ezad, mereka perlu melalui sebuah perkampungan Orang Asli sebelum tiba di kawasan perumahan dan dia mendapat tahu yang kawasan tersebut juga ditenggelami air hingga paras bumbung rumah.
Disebabkan itu, Ezad memberitahu yang dia dan keluarga terpaksa pulang ke rumah keluarga isterinya di Seri Kembangan dan masih berada di situ kerana air belum surut serta tidak dibenarkan masuk.
Dalam pada itu, isteri Ezad, Nor Azeana Ramli sempat berkongsi rasa sedih kerana tidak menyelamatkan dokumen penting termasuk koleksi gitar kesayangan Ezad dan barangan peninggalan orang tua mereka.
Itulah antara barang yang mempunyai nilai sentimental. Jadi, apabila tak dapat diselamatkan, memang sedih kerana tidak boleh diganti.
Ujar Azeana lagi, dia berharap agar banjir dapat surut dengan segera supaya dia dan suami dapat pulang melihat keadaan rumah mereka dan melakukan kerja-kerja pembersihan.