Kalau sebelum ini Edry KRU tidak mengambil pusing komen Michael Ang yang mempertikaikan kemenangan Sufi kerana pengarah tersebut tidak berpengetahuan dalam bidang muzik, kali ini pengetua AF2015 itu melahirkan pula rasa terkilannya kepada Datuk Ramli MS. Ini kerana ketika konsert final AF2015 baru-baru ini, Datuk Ramli MS telah menegur lagu ciptaan Sufi sebagai tidak fokus dan terlalu banyak melodi yang disifatkan tidak perlu. Untuk makluman, Sufi telah menyanyikan lagu bertajuk “Kisah Dua Muka”yang merupakan ciptaannya 100%.
Sebelum ini, Edry KRU juga didakwa telah mengherdik Che Ta kerana tidak berpuas hati dengan komen yang diberikan oleh isteri Zain Saidin kepada Sufi. Tentang komen Datuk Ramli MS, Edry memaklumkan yang komposer terkenal itu seharusnya memberi galakan kepada orang baharu, bukannya menjatuhkan semangat mereka. Kata Edry:-
Saya tidak marah, cuma terkilan bagaimana seorang komposer hebat seperti beliau boleh mempertikaikan bakat seorang pendatang baharu seperti Sufi. Beliau seharusnya memberi galakan, bukannya mengkritik lagu yang dihasilkan.
Sufi orang baharu bagi saya. Kita tidak boleh sekat orang baharu seperti Sufi untuk berkarya. Sufi akan melalu proses demi proses yang akan mendewasakannya.
Ramli sepatutnya lakukan kajian, beliau sepatutnya mendengar radio untuk mengetahui di mana kedudukan lagu dinyanyikan Sufi itu.
Jelas terserlah betapa sayangnya Edry kepada Sufi. Secara jujur, kalau semua benda tak boleh komen dan kritik, lebih baik Edry buat program realiti sendiri di mana dirinya menjadi juri, pengetua dan juga tenaga pengajar. Komen dan kritikan adalah untuk membina seseorang. Kalau memang dah tak bagus, kenalah bagi kritikan agar mereka tidak hanyut dalam pujian yang tak masuk akal. Daripada kritikan itulah baru kita boleh belajar untuk memperbaiki diri. Apa pula pendapat anda?