Pengacara dan personaliti TV terkenal, Datuk Aznil Nawawi menerusi sebuah hantaran di laman Facebook miliknya ada mengucapkan tahniah kepada pelakon Remy Ishak di atas kejayaannya meraih anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31), malam semalam.
Aznil juga sempat bercerita mengenai momen pertemuannya bersama Remy ketika aktor itu masih lagi bekerja sebagai seorang pelayan di Hotel Mandarin Oriental pada suatu ketika dahulu.
Tulis Aznil, Remy pernah datang berjumpa dengannya ketika dan memberitahu bahawa dia bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon.
Dia (Remy) pernah datang dekat paknil (panggilannya) masa jadi pelayan di Mandarin Oriental. Remy beritahu dia nak jadi pelakon! Sekarang dia adalah seniman terbaik!
Tambahnya, kisah Remy itu akan tetap diceritakan agar dapat menjadi contoh kepada pelakon lain supaya tidak berhenti menyimpan azam untuk menjadi pelakon terbaik.
Sementara itu, Remy kemudiannya ada membuat sebuah video penghargaan di atas ucapan Aznil dan turut berterima kasih kerana bekas pengacara rancangan Melodi telah banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat buat dirinya.
“Paknil tahu macam mana perjalanan seni saya. Alhamdullilah semalam apabila saya diiktiraf oleh FFM dengan diberi penghargaan. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang Paknil beri saya selama ini.” ucap Remy.
Sekadar info, Remy sebelum ini telah tercalon sebanyak tiga kali dalam kategori yang sama sepanjang penganjuran FFM dan edisi kali ini adalah merupakan kemenangan pertamanya sepanjang 15 tahun dia berkecimpung dalam dunia seni lakonan tempatan.