Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, didesak membuat pengakuan dan permohonan maaf secara terbuka serta meletakkan jawatan susulan sesi tabayyun bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu yang dikaitkan dengan unsur New Age Movement (NAM).
Gesaan itu dibuat Pengerusi Lajnah Ilmuwan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr Abu Musleh, yang berkata pihaknya menghargai tindakan JAKIM menjalankan siasatan serta sesi tabayyun bersama Marhamah.

Sebelum ini, JAKIM memaklumkan sesi tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM dan pihak berkaitan. Hasil pertemuan, beberapa teguran, nasihat serta panduan diberikan termasuk berkaitan kandungan dan pendekatan program yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.
Menurut Abu Musleh, perkembangan itu menunjukkan kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat sebelum ini wajar diberi perhatian oleh pihak berautoriti.
Beliau turut membangkitkan kenyataan Marhamah sebelum ini yang menafikan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Pada 18 September lalu, pejabat Marhamah dilaporkan memberikan tempoh 24 jam kepada pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut untuk menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka. (Sinar Harian)
Abu Musleh berkata, Marhamah sewajarnya memberikan penjelasan susulan kepada masyarakat selepas sesi bersama JAKIM.

“Ini amat tidak profesional, tidak matang, dan memalukan kerana beliau menggunakan kepala surat pejabatnya untuk menjawab isu peribadi.”
Beliau berkata, isu berkaitan akidah perlu diteliti secara serius dan telus kerana ia menyentuh asas keimanan umat Islam.
Tambahnya, unsur NAM didakwa boleh muncul melalui seminar motivasi, kursus pembangunan diri dan program kerohanian yang pada zahirnya kelihatan neutral.
“Lebih membimbangkan lagi apabila istilah Islam yang sahih sengaja dipinjam untuk menutup fahaman yang bercanggah dengannya.”
Sehubungan itu, Abu Musleh menggesa Mufti, JAKIM, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta pihak berautoriti agama negeri terus memantau dan mengkaji isu berkenaan.
“Rakyat kini menunggu pengakuan dan permohonan maaf Marhamah, dan semestinya disusuli dengan peletakan jawatan,” jelas beliau.
Bagaimanapun, JAKIM dalam kenyataannya turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks. JAKIM menjelaskan teguran, nasihat dan panduan diberikan bagi memastikan kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
