Luwe Xin Hui telah dinobatkan sebagai juara Miss Asia Pageant Malaysia 2023 namun dia serta merta menerima kecaman selepas didakwa membuli dan ramai mangsa tampil mendedahkan sisi buruk wanita itu.
Sejak kemenangan itu, ramai tampil menceritakan tentang pengalaman mereka dibuli oleh ratu cantik tersebut ketika di bangku sekolah.
Warganet yang mengenalinya sejak di sebuah sekolah di Melaka ‘berkumpul’ dan bergabung di ruangan komen di media sosial.
Kata mereka, dia membuli beberapa rakan kelas, mengejek mereka dan macam-macam lagi namun tidak pernah meminta maaf kepada mangsa-mangsanya.
Dia sengaja tumpahkan air atas meja rakan sekelasnya, mengajak orang lain untuk baling kertas kepada rakan beragama Katolik, lekatkan kertas pada kain dan bawa senior untuk mengejek rakan kelasnya.
Seorang individu mendedahkan dia dibuli oleh Luwe Xin Hui hanya kerana mempunyai kulit yang gelap dan ada yang mendakwa wanita itu mengejeknya dengan nama samaran lain.
Rata-ratanya menceritakan tentang cara bagaimana Luwe Xin Hui membuli di sekolah dan ia bukan sekadar buli ‘suka suka’ tetapi kebanyakan mangsa mendakwa mereka dibuli secara lisan (mengejek paras rupa).
Apabila saya terpandang dia, saya kena minta maaf. Jika tidak dia akan datang ke kelas saya bersama rakan-rakannya dan membuat kecoh.
Ratu cantik itu bagaimanapun telah tampil memberikan kenyataan dan memohon maaf kepada dua individu yang pernah dibuli olehnya di sekolah namun Luwe Xin Hui menafikan beberapa dakwaan buli yang lain.
Menerusi Instagram, dia mengakui membuli dua individu tersebut namun berkata beberapa senario telah direka oleh pengguna media sosial yang sengaja mahu memanaskan lagi keadaan.