Kecoh sejak awal tahun lagi apabila kisah mengenai rumah tangga selebriti yang diganggu oleh orang ke-3 sehingga ke jinjang pelamin pun ada!
Sekadar ‘recap’, awal tahun 2023 menyaksikan kisah rumah tangga yang tidak berkesudahan antara pengarah Syamsul Yusof dan isteri, pelakon Puteri Sarah Liyana.
Dalam kekecohan itu, terselit juga kisah Shuk Sahar dan isteri yang katanya sudah bercerai, juga akibat kehadiran seorang wanita yang dikenali sebagai Fara.
Tak habis dengan itu, di saat Puteri Sarah Liyana ‘berperang’ di mahkamah bersama madu, Ira Kazar, muncul pula kisah berani pelakon baru, Sofia Albarakbah yang didakwa tidak segan silu menggoda pelakon Aliff Aziz di set penggambaran drama baru mereka, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Pendedahan panas itu dibuat sendiri isteri Aliff iaitu pelakon dan penyanyi Bella Astillah di dalam satu sebuah sidang media ketika dirinya sedang bertanding dalam sebuah program nyanyian baru-baru ini.
Terbaru, aktor Hafidz Roshdi turut terpalit isu yang sama apabila dia dikatakan bermesej lucah bersama seorang wanita meskipun pada awalnya menafikan khabar angin tersebut.
Namun, tidak lama kemudian, gempar di media sosial apabila isteri Hafidz, Shuhada ada memuat naik luahan perasaan di Instagram mengenai kehidupan rumah tangganya yang diganggu wanita lain, dan ia masih hangat diperkatakan sehingga ke saat ini.
Dalam pada itu, nama Izzue Islam pula disebut-sebut dan diberi ‘amaran’ agar tidak sesekali membuat kecoh mengenai isu yang sama seperti rakan-rakan artis yang lain.
Kata netizen, Izzue adalah ‘harapan terakhir’ peminat bagi membuktikan kisah cinta sejati dan rumah tangga harmoni masih wujud!
Apa-apapun, kita doakan yang terbaik dan selebriti yang diuji dengan dugaan seperti ini dipermudahkan urusan dan menemui jalan keluar yang terbaik.