Baru-baru ini tular, video memaparkan seorang wartawan ‘cilik’ yang petah melaporkan kejadian penemuan seekor ular sawa di dalam longkang di kawasan masjid perumahannya di Sungai Petani, Kedah.
Menerusi video tersebut, wartawan ‘cilik’ yang dikenali sebagai Muhammad Haziq Asyraf telah mendapat liputan dan perhatian orang ramai.
Haziq turut mencuit hati para penonton apabila diberikan peluang untuk membuat tinjauan di Pasar Pagi Bukit Selambau dan dilihat bersahaja menggunakan bahasa yang diselang seli dengan slang utara.
Kepetahan Haziq dalam berkata-kata telah menghiburkan orang ramai termasuk selebriti tempatan seperti Fahrin Ahmad, Tiq Zaqyah, Aniq Suhair dan ramai lagi.
Menurut guru yang mengajar Haziq, Muhammad Islakh Abdul Kadir berkata, dia telah mengajar Haziq sejak kanak-kanak itu berusia 9 tahun.
Islak percaya anak muridnya itu mempunyai bakat yang besar dan boleh pergi lebih jauh jika diberikan perhatian dan pendedahan kepadanya.
Selain kepetahan Haziq dalam menyampaikan berita, ada 5 fakta menarik tentang wartawan ‘cilik’ yang digemari ramai ini, antaranya:
1. Walaupun dilihat selesa di hadapan kamera, namun menurut laporan Astro Awani, Haziq bercita-cita untuk menjadi seorang cef.
2. Haziq berusia 12 tahun dan merupakan anak sulung daripada dua adik beradik.
3. Selain sikapnya yang peramah, menurut laporan Harian Metro, Haziq juga pandai memasak pelbagai jenis kek dan kuih muih tradisional.
4. Haziq merupakan pelajar yang bijak dalam semua mata pelajaran di sekolah dan berada di kelas pertama di sekolahnya.
5. Disebalik perwatakan yang ceria, Haziq merupakan penghidap penyakit talasemia dan perlu jalani rawatan secara berkala.
Sehingga kini, video secara langsung penemuan ular oleh Haziq telah mendapat 31K tanda suka di laman Facebook dan meraih kira-kira 1.1 Juta tontonan.