Baru-baru ini tular tentang seorang pekerja penghantaran makanan yang terpaksa membawa anak kecilnya berusia setahun ketika sedang bekerja.
Menurut laporan mStar, rider yang dikenali sebagai Amirul itu viral di media sosial selepas ditemui oleh seorang penjawat awam, Khairul Fazli.
Khairul menyatakan dia terserempak dengan rider itu di Jalan Chow Sow Lin lalu menghampiri motosikal lelaki itu untuk bertanya lebih lanjut.
Dikatakan semasa Khairul menunggang motosikal, dia ternampak ada kaki kecil yang terjuntai dan memotong motor rider tersebut untuk melihat lebih dekat.
Selepas itu, Khairul meminta untuk menemu ramah Amirul, dan difahamkan bahawa Amirul mempunyai tiga orang anak serta menetap di Jinjian, Kuala Lumpur.
Selain itu, dia memberitahu sudah hampir sebulan bayi itu dibawa bersama semasa bekerja, seorang daripada anak dijaga oleh ibunya dan seorang lagi bersekolah.
Amirul juga menerangkan anak kecil itu hanya diberikan susu ketika berada di rumah dan diberi nasi ketika dibawa keluar.
Khairul turut menjemput Amirul menyertainya mencari rezeki dengan membaiki mesin basuh dan peti ais.