Penyanyi, Datuk Nash memberitahu yang dia tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.
Bahkan, Nash memaklumkan yang nyanyian solo mahupun bersama kumpulannya Lefthanded sebelum ini juga mempunyai maksud tersirat dalam liriknya.
Sebenarnya kalau meneliti lagu-lagu solo saya dan juga Lefthanded, hampir 90 peratus adalah lagu-lagu ketuhanan dan secara tak langsung membawa mesej positif kepada pendengar.
Disebabkan itu, Nash tidak mempunyai masalah untuk menyampaikan lagu-lagu yang mempunyai unsur ketuhanan dan dia boleh pilih tanpa perlu menukarkan liriknya.
Perkara tersebut dikongsikan Nash ketika diminta mengulas dengan lebih lanjut tentang penglibatannya dalam satu program pertandingan nyanyian iaitu Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah.
Bagaimanapun tambah Nash, dia juga tidak boleh mengelakkan diri dari berasa gementar sewaktu membuat persembahan di pentas tersebut meskipun boleh dikatakan sebagai orang lama dalam industri nyanyian.
Alhamdulillah ramai yang memberikan komen positif, tetapi secara jujurnya saya sendiri tidak dapat elakkan rasa gemuruh setiap minggu.
Ujar Nash lagi tentang penyingkiran dalam program tersebut, dia akui percaya pada rezeki dan akan teruskan jika masih mempunyai rezeki serta tetap redha dengan keputusan jika dia tersingkir.
Dalam pada itu, Nash turut berpendapat yang ia sememangnya bagus apabila mempunyai platform seperti program tersebut kerana secara tidak langsung dia dapat berdakwah melalui karya muzik.