Penyanyi lagenda, Datuk Nash baru-baru ini dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi minggu kedua program realiti Islamik Hijrahkan Laguku (HL) terbitan TV Al-HIjrah.
Bertemakan Growing Up, persembahan minggu kedua malam Sabtu lalu telah meninggalkan kesan mendalam apabila separuh daripada artis memilih untuk membuka persembahan dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta potongan doa.
Namun, kekuatan vokal, lirik serta persembahan memukau Nash yang menyampaikan lagu Asli berjaya menambat hati juri lantas diumumkan sebagai juara persembahan dengan peratusan paling tinggi iaitu 77 peratus.
Ia sekaligus menyaksikan Nash membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000.
Bagaimanapun, Nash membuat keputusan untuk menyumbangkan wang kemenangan tersebut kepada salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang akan dikunjunginya bersama pasukan Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku iaitu Pusat Genius Kurnia.
Sekadar info, Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu pada pukul 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.