Meskipun merasa terkilan foto cahaya mata perempuan mereka disebarkan sebelum waktunya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan isteri tercinta, Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan lagi memanjangkan perkara itu dan memaafkan individu yang menyebarkan foto tersebut sehingga viral di media sosial. Mereka berdua redha dengan apa yang terjadi.
Pihak kami sudah memaafkan individu yang menyebarkan foto bayi kami. Tidak mahu menjadikan ia satu isu sebab saya dan Siti pun sudah redha.
Berbicara mengenai perkembangan kesihatan Siti Nurhaliza, Datuk K memaklumkan isterinya itu mengalami pendarahan yang banyak semasa pembedahan melahirkan anak mereka dan terpaksa ditahan di wad untuk beberapa hari lagi dengan pemantaun doktor.
Buat masa ini Siti masih dalam pemantauan doktor kerana dia kehilangan banyak darah semasa pembedahan. Sekarang dia perlu ditambah darah dan mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi dia boleh pulang.
Terdahulu, Siti Nurhaliza membuatkan seluruh rakyat Malaysia teruja apabila melahirkan seorang bayi perempuan pada Isnin lalu. Buat masa ini, bayi tersebut menggunakan nama gelaran Fatimah Az-Zahra. Beliau bakal mengumumkan nama sebenar dalam tempoh seminggu mengikut sunnah nabi.