Berkat usaha dan sumbangannya menaikkan martabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam karya terbitannya, pelakon dan penerbit Darling Ngasri menerima penganugerahan Pingat Setia Bomba semalam.
Pingat tersebut diterima Darling dalam sebuah majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba 2020 yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya.
Menurut Darling, sudah menjadi impiannya untuk martabatkan badan beruniform di Malaysia menerusi karya seni dan dia merasakan usahanya hanyalah sumbangan kecil jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Antara karya berkaitan bomba yang pernah diterbitkan saya adalah filem dan drama bersiri Hero serta telefilem berjudul Fateema Azahra.
Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri turut memberitahu yang dia juga ada membuat iklan-iklan untuk mempromosikan bomba dan program mereka.
Tambah Darling, pingat tersebut adalah pingat kedua yang diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana dia telah dianugerahkan Pingat Jasa Bomba pada tahun 2018.
Dalam pada itu, Darling juga sempat berterima kasih kepada semua kakitangan NS Star Studio dan karyawan yang pernah terlibat dalam projek bersama bomba.
Ujar Darling lagi, anugerah tersebut bukan untuk dia seorang tetapi buat mereka semua yang bekerja di belakang tabir juga kerana projek bersama bomba tidak akan terlaksana tanpa usaha keras mereka.