Semalam kecoh seketika di media sosial apabila tindakan pengasas produk Sendayu Tinggi, Bonda Rozita Ibrahim tampil menyelar tindakan anaknya yang juga usahawan kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri yang berlakon nazak berikutan dijangkiti COVID-19.
Ujar Rozita, anaknya memang disahkan positif COVID-19 namun telah sihat sepenuhnya dan kebanyakan yang dimuat naik Aliff adalah berlebihan dan sekadar gimik.
Enggan mendiamkan diri, Aliff kemudian berkongsi salinan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh sebuah hospital yang terletak di Damansara.
Malah, isterinya, Datin Seri Nur Shahida juga mendedahkan bahawa dia telah dijangkiti wabak membunuh itu pada lewat petang semalam.
Ramai menanti. Baru dapat result petang ni. Kontak rapat, saya pun positif. Alhamdulillah anak-anak semua sihat. Doakan saya cepat sembuh.
Perkara tersebut dikongsikan Shahida menerusi sebuah hantaran di Instagram untuk tatapan peminat dan pengikut media sosialnya.
Terdahulu, Datuk Aliff kembali mencuri perhatian warga maya apabila dia memaklumkan dirinya dijangkiti COVID-19 tahap tiga dan sempat memohon maaf kepada netizen kerana bimbang usianya tidak panjang.
Berikutan itu, Bonda Rozita yang turut sama dalam percutian ke Turki pada 15 Disember lalu meluahkan rasa tidak puas hati dengan perbuatan anaknya itu kerana telah menimbulkan kebimbangan orang ramai dan ahli keluarganya lain turut menerima tempias kecaman daripada netizen.