Tular sejak beberapa hari ini mengenai seorang remaja yang dihukum dimandikan seperti jenazah kerana mencuri tabung di sebuah masjid.
Pada awalnya, muncul dakwaan remaja berkenaan terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat-ubatan untuk datuknya yang dikatakan menghidap kencing manis.
Namun, dia yang ditangkap dan kemudian dihukum penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang khabarnya mempunyai kisah yang ‘lain’ setelah dibongkar oleh netizen.
Dakwa seorang pengguna Twitter @nrkamiliaa_ yang memuat naik tangkap layar komen Facebook, remaja berkenaan rupanya seorang penagih dadah jenis syabu malah mencuri duit ahli keluarganya sendiri semata-mata untuk membeli dadah.
Malah, dakwa netizen lagi, remaja tersebut pernah dihalau dari rumah kerana datuknya sudah tidak sanggup menjaganya kerana terlalu liar dan suka membuat hal.
So it was a lie? Nak belikan atuk ubat but atuk sendiri dah halau dia ni dari rumah ?????????? https://t.co/jXsLxF01rZ pic.twitter.com/fdEctnc0T1
— kamilia (@nrkamiliaa_) January 14, 2022
Dalam perkembangan lain, Sinar Harian melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Sungai Buloh iaitu Superintendan Shafa’aton Abu Bakar memaklumkan bahawa remaja tersebut didapati mencuri duit tabung masjid berkenaan untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.
Ujar Shafa’aton, dakwaan sebelum ini yang menyatakan remaja tersebut terpaksa mencuri untuk tujuan membeli ubat buat datuknya adalah tidak benar sama sekali.
“Ujian saringan air kencingnya juga didapati positif dadah jenis syabu..” maklumnya lagi.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang remaja yang bertindak mencuri tabung masjid sebelum dapat ditangkap oleh kariah masjid dan diberi pengajaran dengan cara mandi jenazah.