Buah lemon sememangnya sinonim dengan pembuatan jus dan juga penambah perasa dalam sesetengah masakan.
Namun, buah lemon juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu ia dapat membersihkan pelbagai peralatan rumah terutamanya perkakas dapur.
Yang pasti, lemon dapat memberikan aroma segar dan menyenangkan kerana baunya yang harum.
Berikut adalah beberapa peralatan di dalam rumah anda yang boleh dicuci dan dibersihkan menggunakan buah lemon ini.
1.Menghilangkan bau hapak dalam peti sejuk
Selain arang, lemon juga dapat digunakan bagi menangkis dan menghilangkan bau dalam peti sejuk yang menyimpan terlalu lama bahan makanan ataupun sudah basi.
2.Mematikan bakteria pada papan pemotong
Bersihkan papan pemotong anda di rumah dengan cara memotong setengah biji lemon dan taburkan sedikit garam kasar di atasnya.
Gosok lemon bersama garam sehingga benar-benar bersih dan biarkan ia selama 15 minit sebelum membilasnya dengan air bersih.
3.Membersihkan ketuhar gelombang mikro
Ketuhar gelombang mikro juga perlu dicuci bagi mengelakkan bau busuk. Mudah sahaja, potong lemon kepada dua bahagian, letakkan di dalam bekas berisi air dan panaskan dua bahan itu di dalam microwave selama dua minit.
4.Menanggalkan kotoran di bilik air
Bersihkan kotoran di bilik air seperti daki sabun dengan mencampurkan minyak zaitun dengan satu bahagian jus lemon dan masukkan ke dalam botol penyembur.
Sebelum menyental dinding bilik air, sembur bahan itu tadi ke dinding dan biarkan selama lima minit sebelum mencucinya.
5. Hilangkan daki di kepala paip
Kebiasannya, paip di sinki akan mempunyai kesan putih dan sukar untuk ditanggalkan.
Ambil buah lemon yang dibelah dua kemudian gosok bahagian tersebut dan biarkan selama 10 minit sebelum dibersihkan dengan air biasa.
Selamat mencuba!