Kembali mencuri perhatian netizen, personaliti media sosial Aisar Khaled dikritik apabila dia dilihat membuat video memaparkan dirinya solat di merata tempat seperti gymnasium, kawasan bengkel dan di hadapan sebuah stesen minyak.
Aisar dilihat berkongsikan video berbaur peringatan itu di laman Instagramnya dengan kapsyen “Tidak kira sibuk kerja dan berada di mana, solat jangan tinggal”.
View this post on Instagram
Menuai pelbagai respon dan kritikan, ada yang menganggap mesej yang ingin disampaikan Aisar itu cukup jelas, iaitu solat itu wajib didirikan di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan selamat.
Namun ada pula yang mempersoalkan keperluan Aisar untuk solat di atas jalan di hadapan sebuah stesen minyak memandangkan surau ada disediakan untuk kemudahan pengguna jalan raya.
“Dah kenapa solat atas jalan depan Shell, punya la dalam Shell ada surau.” tulis seorang netizen.
“Alhamdullilah, tapi nak kabo Shell kan ada surau.” seloroh pengikut Instagram Aisar.
Terdahulu, Aisar yang juga seorang Youtuber dan pelakon ini pernah tular kerana tindakannya menziarahi pusara penyanyi Siti Sarah yang didakwa tidak sensitif dan bertujuan hanya untuk mencari keuntungan.
Dia juga pernah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan netizen berikutan perbuatan membazir dengan membeli gel penyejuk badan dalam jumlah yang banyak untuk dijadikan ‘babi air’.