Drama terbaru yang berjudul Suamiku Lelaki Pendosa nampaknya semakin hangat dibincangkan di media sosial berikutan jalan penceritaannya yang mengetengahkan isu percintaan kaum sejenis atau homoseksual.
Baru-baru ini, seorang ustazah yang dikenali sebagai Ustazah Asmak Husin menggesa agar drama tersebut diboikot kerana ianya tidak wajar ditayangkan berikutan terdapat unsur negatif dan boleh memberi pengaruh yang tidak baik terhadap pemikiran kanak-kanak.
Namun, bagi pengarah terkenal Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat, dia beranggapan bahawa masih ramai di luar sana yang berfikiran jumud terhadap isu ini.
Ujar Shahrulezad, ketika ada pihak cuba memberi pemahaman dan pendidikan mengenai isu LGBTQ, selalunya mereka-mereka ini akan dianggap jahat dan melanggar hukum alam.
Kadang-kadang abam tak faham kenapa masyarakat kita takut sangat nak berdepan dengan realiti hidup. Di kalangan orang alim masjid pun ada. Ustaz ustaz pondok tahfiz pun ramai.
This is real, tanpa drama tu pun bukan bermakna budaya ni tak membarah. Tak semestinya apa yang kami paparkan di dalam media sosial akan menjadi ikutan dan pengaruh buruk semata.
Katanya lagi, orang ramai harus bersikap lebih terbuka dalam memahami sesuatu masalah agar punca dan cara mengawal masalah tersebut dapat dikenal pasti kerana golongan LGBTQ ini sebenarnya memang wujud dalam kalangan masyarakat.
“Boleh tak kita jangan terlalu insecure sangat dengan iman dan underestimate akal kita dalam berfikir. Lagipun dalam dunia ni Allah bukan ciptakan hanya untuk dihuni oleh golongan alim alim beriman saja.” luah Shahrulezad.