Namun, Sharnaaz menjelaskan luahan beliau itu bukan kerana cemburu melihat bakat-bakat baru mendapat peluang yang cukup mudah itu tetapi ingin menegur mereka yang sudah mendabik dada dan tidak hormat pelakon lebih senior.
Zaman sekarang memang terlalu mudah pelakon baharu jadi teraju utama. Ada kabel atau pengaruh keluarga sedikit contohnya, senang-senang mereka boleh jadi watak utama. Dalam hal ini saya sendiri mengalu-alukan kehadiran bakat pelapis tapi biarlah dengan cara betul.
Lebih afdal bermula dari bawah, baharu tahu jerih perih sebenar berjuang di liga seni. Kalau nak ambil berlakon pun, biarlah seiring dengan bakat.
Ditambah pula, pelakon baharu mudah saja dapat promosi itu dan ini, malah ada yang sampai ditatang bagai minyak yang penuh. Mulalah naik tocang, berlagak tak kena tempat. Malah satu tahap bila perhatian dan limelight diberikan kepada mereka, ada yang tak boleh menanganinya sebaik mungkin kerana kurang pengalaman.
Bermula daripada bawah dan menimba pengalaman sedikit demi sedikit sehingga popular seperti sekarang, Sharnaaz sebenarnya merasa syukur kerana banyak perkara yang beliau pelajari daripada beberapa pengarah terkenal untuk memperbaiki dirinya.
Saya bersyukur bermula dari bawah. Saya dapat kenal dengan ramai orang seni termasuk pengarah seperti Michael Ang, Kabir Bhatia dan Shahrulezad Mohameddin.
Mereka inilah yang mengajar serta melayan saya sebagai pekerja bukan sebagai kawan. Drama pertama saya dibayar RM7,000 saja untuk tempoh enam hingga tujuh bulan. Kalau dibahagikan jumlah itu, saya menerima sekitar anggaran RM1,100 sebulan. Duit itulah nak bayar kereta, sewa rumah, bil dan sebagainya
Bila bermula daripada bawah pengalaman yang kita dapat itu tidak mungkin dapat di jual beli, malah ia mengajar kita untuk tidak kenal erti putus asa dan terus bersemangat jika ada halangan. Kalau sudah dimanjakan daripada awal memang susahlah bila kena “jentik†sikit nanti.