Jika sebelum ini cef selebriti terkenal ini hanya dilihat aktif beraksi di dapur menyiapkan resipi untuk pelanggan, Datuk Fazley Yaakob bakal menghiasi pentas nyanyian pula apabila dia bersetuju untuk menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim ke-8.
Ujar Fazley, dia mengakui berasa gementar untuk kembali beraksi semula di pentas sebagai seorang penghibur namun teruja kerana dapat bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang berbakat besar dan berpengalaman.
Dalam pada itu, Fazley menjelaskan bahawa antara sebab dia menyertai GV8 hanya kerana ingin menunaikan hasrat anak bongsunya, Alayna Selma,4, yang berhasrat untuk melihat dirinya menyanyi secara ‘live’ di televisyen.
Walaupun ada yang kata lebih baik saya masak je tak payah masuk pertandingan. Anak saya yang kelima hanya tahu saya seorang penyanyi dengan tengok video-video lama, kali ini biar dia nampak secara live.
Malah, Fazley yang pernah digelar Abang Asmara ini juga telah menyiapkan diri dengan menyertai kelas vokal sejak enam bulan yang lalu.
Fazley juga khabarnya sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada netizen sekiranya persembahannya di pentas Gegar Vaganza tidak memuaskan hati peminat.