Akhir bulan lalu, kes syariah antara Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan Emilia Hanafi menyaksikan bekas isteri ahli perniagaan terkenal itu dipenjara selama tujuh hari di atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berhubung tarikh lawatan ketiga-tiga anak mereka.
Setelah dibebaskan, Emilia Hanafi bersama peguam yang mewakilinya telah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi tujuan mendengar sebutan tuntutan harta sepencarian daripada bekas suaminya itu.
Menurut laporan Malaysia Gazette, tuntutan daripada Faisal itu telah dibuat pada 17 Mac lalu dan sebutan mengenai perkara itu telah ditunda pada 19 Julai nanti.
Peguam Emilia, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang ditemui media menganggap tuntutan tersebut sebagai luar biasa kerana kebiasaannya ia dituntut oleh bekas isteri namun Faisal yang kehadapan dahulu.
Manakala bagi pihak Emilia, dia terkejut mengenai langkah tuntutan harta sepencarian yang dibuat bekas suami meskipun dia tidak pernah memfailkan sebarang nafkah dan harta sepanjang tempoh 7 tahun mereka bercerai.
Difahamkan, harta sepencarian yang dituntut oleh Faisal melibatkan sebuah rumah kelamin seperti yang dikongsikan oleh aktivis masyarakat, Mona Din di Facebook.
Dalam pada itu, Mona turut menceritakan bahawa kisah cinta Emilia dan Faisal yang bermula ketika di bangku sekolah lagi namun jodoh di antara mereka tidak panjang sebelum menemui titik noktah dalam perkahwinan.
Malah, Emilia juga masih belum berfikir tentang soal pengganti sebaliknya hanya mahu menumpukan perhatian kepada anak-anak dan juga urusan di mahkamah.