Pasangan popular yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, Uqasha Senrose dan Kamal Adli khabarnya sudah selamat berangkat ke Tanah Suci semalam bagi menunaikan ibadah umrah.
Perkara tersebut turut dikongsikan Kamal Adli dalam sebuah hantaran di Instagram miliknya untuk tatapan peminat di media sosial.
Sebelum itu, Kamal juga ada mengemas kini hantaran di Instagram miliknya yang memaparkan dia sedang berlepas bersama isteri menaiki penerbangan ke Tanah Suci.
Saya dan isteri akan berangkat untuk umrah. Kami memohon maaf sekiranya pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak. Doakan kami mendapat umrah yang mabrur.
Manakala dalam satu hantaran yang lain, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen,29, ada memberitahu bahawa dia dan Kamal akan menunaikan solat sunat hajat khas untuk semua mangsa yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.
Insya-Allah kami juga akan melaksanakan solat hajat memohon kepada Allah S.W.T untuk semua mangsa banjir. Salam takziah untuk semua dan semoga Allah akhiri bencana ini.
Terdahulu, pasangan romantis ini memaklumkan hajat mereka untuk menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran selepas doa jodoh mereka dimakbulkan oleh Ilahi.
Pasangan ini selamat mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 5 November lalu bertempat di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang.