Rasanya sudah diketahui ramai bahawa kenderaan seperti kereta, bas, ataupun lori sahaja yang perlu membayar tol jika memandu di lebuh raya.
Kenderaan yang bertayar dua seperti basikal ataupun motosikal tidak perlu untuk membayar tol jika menggunakan lebuh raya, malah ada laluan khas yang telah disediakan buat mereka.
Bagaimanapun, tular sebuah video di TikTok baru-baru ini memaparkan dua orang gadis yang menaiki motor gigih hendak membayar di tol dan ianya telah mencuri perhatian ramai.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, jelas terlihat penunggang motosikal terbabit berhenti di pondok tol untuk menekan kad ‘touch & go’ mereka supaya palang di tol itu terbuka.
Terkejut serta terhibur melihat situasi yang terjadi di depan matanya itu, si perakam menjerit dari dalam kereta bahawa penunggang motosikal tidak perlu membayar tol, namun tidak dihiraukan oleh mereka.
Barangkali tidak mendengar kata-kata si perakam itu, mereka bernasib baik pekerja yang sedang duduk di dalam pondok tol berkenaan memberitahu penunggang motor tidak perlu membayar tol.
Meninjau di ruangan komen hantaran itu, rata-rata warganet terhibur dengan situasi yang telah berlaku, namun dalam pada masa yang sama ada juga yang merasakan mereka baru pertama kali membawa motor di kawasan tol.