Pendakwah bebas Haris Ismail menyumbang lima projektor LCD yang dianggarkan bernilai RM15,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling bagi membantu proses pembelajaran pelajar di sekolah itu.
Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail berkata sumbangan projektor dari LUMOS Malaysia itu adalah untuk kegunaan pelajar tingkatan lima sekolah tersebut.
Suami kepada selebriti terkenal, Neelofa itu menjelaskan akhirnya usahanya itu dapat juga direalisasikan kerana sudah lama dia mahu berikan projektor tersebut, tetapi memandangkan sekolah belum dibuka, semua jadi tergendala. Sekarang, pelajar sudah kembali ke sekolah, ini waktu sesuai untuk memberikannya.
Dengan adanya projektor ini, sedikit sebanyak dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini terutama buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Haris yang lebih dikenali dengan panggilan PU Riz itu turut berperanan sebagai guru sementara di sekolah berkenaan mengakui gembira dan bersyukur dapat menjalankan tanggungjawab murni tersebut.
Haris, 27, berkata selain mengajar di sekolah ini, ianya menjadi satu tanggungjawab juga buat dirinya untuk membantu sekolah dalam meningkatkan lagi prestasi pelajar menerusi fasiliti yang ada.
Jadi, apabila saya mewujudkan perkara ini, saya berasa lega. Sekurang-kurangnya, ada juga peninggalan berharga buat saya pada sekolah ini.
Dalam masa sama, Haris turut menghargai bantuan yang diberikan pihak LUMOS Malaysia kerana bersama-sama dalam merealisasikan perkara ini. Haris berharap semoga sumbangan kecil ini akan memberi manfaat kepada semua.
‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.