Baru-baru ini, dakwaan mengenai seorang pelakon lama iaitu Badrul Muhayat membawa lari kedua-dua anaknya telah tular di serata media sosial.
Ketika dihubungi oleh pihak Harian Metro untuk bertanya lebih lanjut berkenaan dengan isu ini, Badrul ringkas mengatakan dakwaan yang dibuat oleh bekas isterinya itu adalah fitnah semata-mata.
Bagaimanapun, pelakon yang popular ketika era 90-an itu enggan ditemubual dan meminta maaf kerana ketika itu sedang sibuk.
Difahamkan, bekas isteri pelakon terbabit telah membuat satu laporan polis dengan mendakwa berlakunya pecah rumah dan dua anaknya dibawa lari oleh Badrul dari kediaman mereka di Hulu Bernam, Selangor, Sabtu lalu.
Hal tersebut turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arshad Kamaruruddin yang mengakui pihaknya ada menerima laporan terbabit.
Sebelum ini, wanita tersebut ada memuat naik sebuah status di Facebook memberitahu selain rumahnya dipecah masuk, semua pakaian anak serta buku-buku sekolah sudah tiada.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu ternampak sesuatu yang mencurigakan seperti sarung tangan plastik di atas rumput depan rumahnya.