Pelakon Andy Teh sekali lagi menjadi tumpuan warganet selepas memuat naik video terbarunya di TikTok.
Menerusi perkongsian tersebut, Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat merakam dirinya sedang membaca Surah An-Nas dengan lancar. Menurutnya, bacaan itu dikuasai hanya selepas 30 minit belajar.
Difahamkan, Andy mempelajari surah tersebut bagi menjayakan watak dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Abah Saya, Uncle Mike. Sebelum ini, Andy juga pernah berkongsi pengalamannya belajar mengaji serta mendalami budaya Islam demi menjiwai watak berkenaan.
Video tersebut mendapat perhatian ramai yang memuji kesungguhan Andy berusaha memahami bacaan Al-Quran walaupun bukan beragama Islam. Malah, ada juga peminat berseloroh menawarkan diri untuk membantu memperbaiki bacaannya sekiranya ada peluang bertemu kelak.
Usaha Andy dianggap wajar dijadikan contoh kerana menunjukkan dedikasi tinggi dalam mempersembahkan mutu lakonan yang lebih berkesan.