Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa anak lelakinya telah diserang oleh dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, hari ini.
Melalui hantaran di Facebook, beliau memaklumkan seorang lelaki bertindak mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mangsa hendak masuk ke dalam kereta untuk meninggalkan lokasi tersebut pada jam 1.45 tengah hari.
Ketika kejadian, anaknya berada bersama isterinya. Hasil semakan, katanya, mendapati dua lelaki bermotosikal mengekori kereta isterinya, dan beliau percaya serangan itu telah dirancang lebih awal.
“Serangan itu membabitkan dua lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhan. Mereka sudah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika (masa) yang sesuai.
Anaknya telah dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan, manakala pihak polis tiba di lokasi sejurus selepas kejadian bagi menjalankan siasatan.
Rafizi turut menyatakan, sepanjang beliau bergiat dalam politik, ini adalah kali pertama keluarganya menjadi sasaran, dan beliau tidak menolak kemungkinan serangan itu sebagai amaran kepadanya.
Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan bertanya khabar.
Media turut melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu diserang di kawasan menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek, dan Rafizi bersama keluarganya sudah memberi keterangan kepada pihak polis.
Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.