Bermacam kisah tentang Generasi Z atau Gen Z yang kita dengar sebelum ini dan setiap kali ada cerita yang ditularkan pasti menjadi bualan hangat di media sosial.
Terbaru, seorang majikan berkongsi tentang salah seorang pekerjanya yang dianggap lemah kerana melibatkan orang tuanya dalam urusan pekerjaan.
Mengadu pada ibu dimarahi majikan
Menerusi Facebook, majikan tersebut mendedahkan dia pernah diserang oleh ibu kepada pekerjanya itu yang tidak berpuas hati anaknya ditegur tentang kerja.
Difahamkan, pekerja terbabit telah mengadu kepada ibunya bahawa dia telah dimarahi oleh majikan di tempat kerja dan ia menimbulkan rasa marah wanita itu.
Baru-baru ini, saya mengambil pekerja yang lahir selepas tahun 2000, dan mentaliti mereka benar-benar lemah. Mereka mengadu kepada ibu mereka bahawa saya menegur dan kemudian ibu mereka memarahi saya.
Ramai Gen Z begitu?
Kata majikan tersebut lagi, ramai rakan-rakannya yang mempunyai syarikat sendiri juga mengalami situasi yang sama dengan pekerja Gen Z mereka.
Sementara itu, perkongsian terbabit mencetuskan perbincangan warganet tentang permasalahan tersebut dan sesetengah pihak bersetuju ramai Gen Z tidak boleh ditegur atau dimarahi.
Bagaimanapun, segelintir individu berpendapat isu sebenar dalam permasalahan membabit Gen Z ini adalah ibu bapa mereka yang terlalu ‘protective‘.