Perkongsian seorang bapa tentang pengalaman dia bersama isteri dan anak-anak ketika menaiki pesawat syarikat penerbangan baru meraih perhatian ramai.
Menerusi hantaran yang ditulis panjang itu, Fear Dawooz menceritakan kronologi dan cerita di hari kejadian dengan lebih teliti tentang pengalaman buruknya.
Biasalah jika terbang bersama anak kecil sudah tentu akan ada yang tidak kena namun apa yang membuat dia kecewa adalah kerana dia dan keluarga telah dihalau keluar dari pesawat tersebut.
Penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur, 24 Mei
Sebelum menaiki pesawat, dia mendakwa staf syarikat penerbangan tersebut seolah-olah mendesak dia untuk membayar servis check in luggage.
Selepas diasak beberapa kali, dia akhirnya mengalah kerana tidak mahu panjang cerita dan membayar jumlah seperti yang diperuntukkan.
Anak meragam, minta infant belt tapi…
Menurutnya, keadaan mula menjadi tegang selepas permintaan isterinya untuk menggunakan infant belt di dalam pesawat ditolak.
Dakwanya, kru kabin dan ketua mereka kerap kali berkata ia adalah polisi mereka (anaknya berusia 2 tahun 5 hari – infant belt adalah untuk kanak-kanak sehingga 2 tahun).
Namun, di dalam hal ini dia cuma mengharapkan agar mereka bertolak ansur memandangkan anaknya baru genap 2 tahun dan sedang menangis meronta-ronta ketika disuruh duduk di atas kerusi sendiri.
Malah, menerusi video dimuat naiknya boleh dilihat tali pinggang keselamatan pesawat tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana longgar.
Banyak kali minta infant belt, tiba-tiba…
Dia juga dimaklumkan bahawa anaknya perlu duduk di kerusi dan memakai seat belt atau jika tidak kapal terbang tersebut tidak boleh berlepas.
Ketua kabin itu kemudian memaklumkan sesuatu kepada kapten kapal yang bertugas dan tiba-tiba mereka terdengar pengumuman,
Kepada penumpang yang duduk di barisan **, sila beri kerjasama untuk duduk atau jika tidak kami akan panggil sekuriti untuk iring awak keluar dari pesawat ini.”
Dah landed, kena panggil
Kapal terbang itu berlepas dengan situasi anaknya menangis namun setibanya mereka di KLIA2, kira-kira 4 atau 5 orang staf sekuriti menahan dan meminta agar dia memadam semua video yang dirakam ketika kejadian.
Mereka turut cuba mencapai persetujuan dengan bertanya jika dia akan padam video tersebut seandainya ketua kabin meminta maaf kepadanya dan keluarga.
You rasa dia nak ke mintak maaf? Sepanjang flight takde single apologies pun dia cakap inikan sekarang semata sebab nak padam video.”
Akhirnya, mereka sekeluarga beredar pergi tanpa memadam video berkenaan kerana mahu dijadikan bahan bukti jika apa apa berlaku kelak.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai warganet di mana rata-ratanya bersetuju dia menularkan perkara tersebut agar pihak syarikat penerbangan tersebut mengambil tindakan sewajarnya terhadap staf yang terlibat.
Dalam pada itu, syarikat tersebut sudah membuat permohonan maaf dan memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan.