Baru-baru ini Amelina ada mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau tidak akan mengenakan tudung dan berhijrah seperti teman yang lain kerana faktor ekonomi yang tidak mengizinkan. Perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat dan melabelkan Amelina sebagai seorang yang tidak percaya pada rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT.
Tidak dapat dinafikan setiap kali membaca pelbagai kritikan mengenainya di media sosial, Amelina tidak dapat menahan air matanya kerana kadang-kadang sesuatu komen itu agak kasar dan melampau.
Saya masih beragama Islam dan tidak terpesong daripada akidah. Saya tahu kewajipan saya sebagai umat Islam di muka bumi ini. Apabila perkara ini terjadi, ia seolah-seolah menggambarkan diri saya seorang wanita yang jahat dan jahil tentang hal agama.
Selama ini, saya tidak pernah menilai mahupun menghina mana-mana individu. Saya melayani setiap insan sama rata dengan penuh berhemah. Malangnya, ini yang saya terima.
Walaupun ada sedikit rasa sedih didalam hati, Amelina bagaimanapun memberitahu beliau sudah memaafkan setiap insan yang mengkritik beliau.
Berbicara mengenai penghijrahan beliau, Amelina pasti satu hari nanti beliau akan diberikan hidayah untuk melakukan perkara tersebut yang timbul ikhlas dari hatinya dan bukan kerana trend semata-mata.
Saya sudah maafkan mereka. Tidak dinafikan, pada mulanya saya sangat sedih dan malu dengan komen negatif tersebut kerana ada yang sanggup menjatuhkan hukum mengatakan saya munafik dan bakal menjadi penghuni neraka. Sedangkan mereka tidak tahu cerita sebenar.
Mengenai isu bertudung pula, biarlah hidayah itu sampai bila tiba waktunya. Lagipun, saya tidak mahu bertudung untuk meraih simpati orang ramai ataupun mengikut trend semasa. Kalau saya mahu bertudung, saya mahu betul-betul fokus ke arah kebaikan.
Bak kata Amelina, perubahan itu harus dilakukan daripada dalam hati kita sendiri dan tanpa paksaan mana-mana pihak. Semua orang mahu menuju ke arah yang lebih baik kan? InshaAllah, satu hari nanti masanya akan tiba untuk Amelina bertudung.