Lahir menerusi program realiti Raja Lawak, namun kelibat Along Cham dilihat jarang berada di pentas lawak mahupun program komedi.
Perkara tersebut sekaligus menimbulkan persepsi mengatakan yang Along merajuk dengan dunia pementasan lawak, apatah lagi dia kini dilihat lebuh cenderung ke arah dunia lakonan dan pengacaraan.
Namun begitu, Along tidak menafikan perkara tersebut dan mengaku yang dia lebih fokus pada kerjaya sebagai pelakon komedi sejak kebelakangan ini.
Saya bukannya merajuk dengan dunia pentas lawak, tetapi saya mengatur semula kerjaya apabila melihat kemunculan pelawak baharu seperti cendawan selepas hujan.
Menurut Along, dia memang lahir dari program Raja Lawak tetapi dia lebih memilih menjadi pelakon komedi berbanding pentas lawak.
Along turut memaklumkan yang tindakannya tersebut bukan bermakna dia merajuk, sebaliknya dia merasakan dirinya agak janggal apabila berdiri di atas pentas lawak.
Tambah Along lagi, perkara tersebut boleh membunuh kerjayanya jika dia terus memaksa diri, lebih-lebih lagi apabila sudah lama tidak beraksi di pentas lawak.
Bukan saya tidak pernah mencuba, malah menyertai program lawak sebanyak tiga kali. Kali terakhir kemunculan semula saya bersama kumpulan Cham namun tidak menjadi.
Disebabkan itu, Along memberitahu yang dia mahu fokus kepada bidang lakonan dengan mendalami serta menghayati karakter supaya dapat menjadi pelakon yang lebih baik.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad turut memaklumkan yang dia perlu kenal kelebihan yang ada dalam dirinya dan perlu menolak diri bergerak lebih jauh apabila duduk dalam industri.