Sering kali pakar mengatakan pendedahan pornografi di usia muda sememangnya memberikan kesan buruk kepada mental kanak-kanak terbabit dan pelbagai hal negatif lain yang akan dialaminya.
Menerusi laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF), antara risiko yang akan dihadapi oleh kanak-kanak yang menonton pornografi, kebarangkalian untuk mereka mengikutinya amat besar.
Tambahan pula, kanak-kanak yang berusia 4 hingga 12 tahun mempunyai otak yang berkembang, maka mereka lebih cenderung untuk mengikutinya.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang penceramah dan penulis keibubapaan di Facebook baru-baru ini, apabila pasangan ibu bapa menceritakan anaknya yang baru saja berusia 5 tahun diajak oleh rakan tadika berusia 4 tahun untuk melakukan aksi ‘jilat-jilat’.
Selepas disiasat, didapati budak berusia 4 tahun itu ingin melakukan aksi lucah tersebut kerana telah menonton video lucah yang ada dalam telefon bimbit ibunya.
Dalam pada masa yang sama, ibu bapa trauma itu juga mengatakan anaknya tidak tahu hal tersebut adalah perkara salah kerana tidak pernah diajar hal-hal seperti itu dan turut berasa kesal dengan pihak tadika sebab tidak memantau anak-anak disitu.
Meninjau di ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata netizen yang juga merupakan ibu bapa meluahkan rasa takut serta ada juga yang merasakan hal ini terjadi disebabkan sifat tidak bertanggungjawab oleh sesetengah ibu bapa hingga memberi kesan kepada anak-anak.