‘Abang Viva’ khabarnya sedang bersiap sedia untuk turun padang membantu mangsa banjir di negeri Kelantan dan Terengganu berikutan hujan lebat yang turun berterusan sejak minggu lalu.
Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar memaklumkan bahawa perancangan untuk ke negeri-negeri terjejas itu ada dan akan memberitahu dengan lebih lanjut menerusi akaun media sosialnya tidak lama sahaja lagi.
Dia yang dihubungi Sinar Harian berkata demikian setelah tular di media sosial Facebook tangkap layar perbualannya bersama seorang pengguna media sosial yang menyatakan Azwan dalam persiapan untuk ke Terengganu bagi menyelamatkan mangsa banjir.
Ya saya memang ada perancangan untuk pergi (membantu mangsa-mangsa banjir). Bila nak pergi itu saya tidak pasti lagi tetapi nanti kalau ada apa-apa saya akan ‘update’ (maklumkan) di Facebook saya. – Abang Viva
Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, ramai netizen mendoakan agar Azwan selamat sampai dan dilindungi Allah S.W.T.
“Mantaplah Abang Viva. Selamat berjuang. Semoga Allah permudahkan segala urusan. Utamakan Keselamatan.” komen seorang netizen.
Rata-rata turut meluahkan rasa teruja dengan kehadiran ‘ikon bantuan banjir’ itu bagi membantu mangsa banjir di Terengganu setelah tular mengenai dirinya ketika bencana bah banjir di negeri Selangor dan Pahang pada penghujung tahun lalu.
Perkembangan terkini, Azwan dikhabarkan telah sampai ke Terengganu bagi meneruskan operasi menyelamatnya itu.